IKHLAS (1)

Kisah : IKHLAS (1)

Apa itu ikhlas?
Ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.
Ikhlas merupakan salah satu sifat terpuji yang menghiasi peribadi Muslim yang bertaqwa kepada Allah dan keikhlasan jugalah yang menjadi asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan yang dilaksanakan oleh setiap Muslim diterima oleh Allah ataupun sebaliknya.Pendek kata,keikhlasan adalah penentu kepada kejayaan seseorang Muslim di dunia juga akhirat.

Allah berfirman ;
“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu(wahai Muhammad)dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya”[Surah al-Zumar :2]

Cara memahami Ikhlas.
Harus diakui,memang sukar untuk kita memahami sifat ikhlas.Adakala akan tersingkap jua riya’ dan ‘ujub mengintai.Jadi bagaimana untuk menanam sifat ikhlas?Kita perlu memahami cara nya terlebih dahulu.
Di sini ada satu kisah yang mungkin kita boleh mengambilnya sebagai satu iktibar.

GURU: “Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas,”
MURID: “Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
GURU: “Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
MURID: “Karung guni?” (seperti tidak percaya.)
GURU: “Mari kita ke pasar!”

Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.

GURU: “Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,”

Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.

MURID: “Cukup?”
GURU: “Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.

MURID: “Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
GURU: “Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
MURID: “Ya, ya…” (sambil memikul guni yang berat itu kelelahan).
RAKAN LUAR: “Banyak beli barang,” (apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu).
ORANG PASAR: “Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli, Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,”

Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.

MURID: “Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
GURU: “Tak buat apa-apa.”
MURID: “Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,”.
GURU: “Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
MURID: “Bagaimana?” tanya anak murid itu kehairanan.
GURU: “Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
MURID: “Dengan memikul batu-batu ini?”
GURU: “Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak’. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
MURID: “Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
GURU: “Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
MURID: “Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYA’ dalam beramal.
belajarlah untuk ikhlas!

Pengajarannya : Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang.Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat.Malah,mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka.Rugi benar orang yang tidak ikhlas,terseksa di dunia juga akhirat.

Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda;
“Yang sangat saya khuatirkan atas kamu adalah syirik yang terkecil”.Sahabat bertanya,”Ya Rasulullah,apakah syirik yang kecil itu?”Nabi Muhammad s.a.w menjawab,”Riya”

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s